Malaysia Tanah Air-Ku, kepelbagaian itu harus diharungi dan dijadikan kekuatan bangsa kita bersatu. Melayu, India, Cina dan sanak saudara dari Sabah dan Sarawak di bawah kibaran satu Bendera.
Walaupun telah hampir 64 tahun sudah kita Merdeka dari jajahan kuasa luar tapi kita masih dijajah oleh unsur perkauman atau rasisme di kalangan segelintir Masyarakat. Masih ada yang label melabel, “kamu Pendatang”, “kamu balik ke Negara asal” Kamu K****g dan pelbagai ejekan terhadap suatu bangsa.
Jangan kita hanya menunjukan semangat kesatuan atau Nasionalisme pada bulan Ogos 31 atau Hari Malaysia ataupun di hari mengundi sahaja. Semangat kesatuan itu perlu dihayati setiap hari dalam rutin harian kita sebagai anggota masyarakat.
Kita perlu menghormati Hak yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Hak setiap individu, kumpulan, kaum, bangsa dan agama dijamin dan dipelihara dalam Perlembagaan. Kita harus saling hormat-menghormati antara kita. Tidak perlu mencabar dan mewujudkan suasana yang tidak harmoni.
Pada masa yang sama, kita tidak boleh menolak mana-mana individu berasaskan kaum dan agama mahupun latar sosial, tetapi perlu diangkat dan diberi ruang berteraskan kelayakan mereka secara keseluruhan melalui sistem meritokrasi.
Saya pasti dan perlu akui ada segelintir orang yang masih menggunakan Kaum dan Agama sebagai senjata demi kepentingan tertentu. Kita harus tolak budaya yang boleh memudaratkan persefahaman kesatuan kita di kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Kekuatan Malaysia adalah kekuatan kesatuan kita semua sebagai Rakyat Malaysia. Saya berbangsa India dan menuntut ilmu pendidikan awal di Sekolah Cina sehingga darjah 6. Selepas itu, saya menyambung ke Sekolah Menengah Kebangsaan. Saya telah memahami dan menjiwai kepelbagaian dari usia mudah kerana saya tidak mengenali atau memilih kawan dengan melihat warna kulit atau agama tapi lebih kepada persahabatan dan budaya mereka yang berbeza.
Kepelbagaian itu adalah kekuatan yang tidak boleh ditandingi jika kita memahami konsep Nasionalisme dan Semangat Bangsa Malaysia. Saya mempunyai ramai kawan dari kalangan pelbagai bangsa. Setahu saya, pemikiran mereka serupa seperti saya yang lebih mengutamakan semangat Bangsa Malaysia.
Kita mesti tolak orang yang memecahbelah dan menghasut untuk membenci antara Kita. Rasisme adalah penyakit yang lebih parah dari Virus Jangkitan Covid19.
Kita harus bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.
Kita Rakyat Malaysia, We Stand as One Nation, This is our Home, Malaysia is our Pride.
R. Yuneswaran
Anak Malaysia