Persoalan kabinet bersaiz XXL di negara ini menjadi perbincangan hangat dalam forum maya anjuran Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia malam tadi.
Ketua AMK Johor R. Yuneswaran melontarkan kritikan apakah keperluan negara mempunyai sehingga 70 orang menteri dan timbalan menteri sedangkan penduduk hanya berjumlah 33 juta orang
Beliau membandingkan Indonesia yang mempunyai 270 juta penduduk tetapi anggota kabinetnya lebih kecil serta berjaya membawa masuk pelaburan asing yang banyak berbanding Malaysia, dalam laporan ekonomi pada 2020.
“Kita lihat negara jiran Indonesia yang populasinya 276 juta hanya ada 34 orang menteri, saiz populasi mereka adalah 8.4 kali ganda lebih besar daripada Malaysia.
“Negara yang besar hanya 34 orang menteri kenapa? Sebabnya di Malaysia pelantikan adalah berdasarkan politik. Untuk kekal berkuasa Muhyiddin terpaksa lakukan.
“Saya sentuh mengenai timbalan menteri. Ada 7 kementerian yang ada dua timbalan menteri. Kenapa ramai sangat timbalan? Apakah menterinya kurang cerdik atau kurang kompeten untuk uruskan kementerian? Kemudian ada pula Menteri Tugas-tugas Khas. Apa tugas mereka?
“Apakah kad laporan mereka ini akan dipaparkan? Kerana mereka ini dibayar gaji oleh rakyat,” katanya dalam forum “PKP: Peniaga Tutup Kedai, Rakyat Hilang Kerja, Menteri…???”, malam tadi.
Yunes turut mengkritik keras untuk apa dilantik 2 Timbalan Menteri Kesihatan tetapi untuk mengumumkan jumlah kes Covid 19 setiap hari, termasuk pada hari cuti dilakukan Ketua Pengarah Kesihatan. Beliau bertanya adakah 2 timbalan menteri itu hanya makan gaji tanpa berbuat apa-apa?
Katanya, rakyat melihat menteri Perikatan Nasional (PN) sejak kebelakangan ini hanya sibuk bermain politik dan tidak menumpukan isu-isu ekonomi kerana itu negara semakin kehilangan pelabur asing.
“Mungkin sebabnya menteri tidak memanggil pelabur dari luar negara. Kerana menteri tiada masa, mereka lebih fokus kepada politik. Memperkukuhkan PN dan pilihan raya umum (PRU).
“Dua hari lepas parti Gerakan bergabung (setelah rundingan) dengan PN. Jadi mereka lebih tumpu PRU berbanding isu rakyat, penganguran, anak muda. Saya tidak nampak isu anak muda atau kesihatan mental diperjuangkan,” katanya.
Menyentuh mengenai kehilangan pelaburan langsung asing (FDI), Yunes berkata, pelabur tidak akan masuk ke sebuah negara yang bergolak atau tidak stabil serta tidak menjanjikan pulangan lumayan dari modal mereka.
“Contohnya saya mahu melabur ke sesuatu tempat maka akan dipastikan kestabilan politik. Ini sangat penting. Politik negara ketika ini tidak stabil dengan hanya 109 MP yang menyokong.
Masa PH perintah kita hapuskan GST dan perkenalkan SST. Bila kerajaan baru ambilalih maka akan diperkenal dasar-dasar baru. Bila dasar baru maka undang-undang akan berubah dan ini beri implikasi kepada pelabur
“Bila kita kekurangan pelabur maka beri kesan kepada negara. Bagaimana mahu mengurangkan pengangguran jika kita tiada peluang pekerjaan dengan mewujudkan ruang kepada orang yang mahu melabur dan buka syarikat.
“Katakan ada mall dibuka, hampir 2,000 peluang pekerjaan akan wujud. Ini akan meningkatkan juga cukai kepada negara,” katanya.
Berkenaan soal suara rakyat yang kurang didengari, Yunes mempersoalkan sikap menteri kerajaan PN yang tidak bertindak balas segera terhadap teguran akar umbi, sebaliknya hanya bertindak selepas Ahli Parlimen PN sendiri yang mengkritik.
“Apa yang kita lihat selalu berlaku satu tindakan diambil selepas desakan politik. Sejak penubuhan kerajaan ini setiap kali wakil mana-mana parti memberi desakan misalanya dari Umno, apabila mereka buat posting, barulah kerajaan PN akan buat sesuatu.
Ia adalah dasar yang dibuat melalui politik. Sepatutnya dasar dibuat dengan menteri turun padang, dapatkan maklumat dari rakyat. Sebab itu dasar kurang tepat dan berapa kali mereka tukar syarat moratorium, SOP atau syarat-syarat pengeluaran KWSP?
“Ini bukanlah sepatutnya yang berlaku,” katanya lagi.
Kredit : SUARA KEADILAN
Koruksi :/ Bukan 42 Menteri (Hanya 34 Menteri di Indonesia)